Monday 26 December 2011

Masak lemak cili api siput sedut dengan pucuk paku.

Salam semua,

Semasa saya berkunjung ke Pantai Remis baru baru ini saya cuma membeli Mentarang dan siput sedut. Maka saya akan paparkan masakan Mentarang(yang disiarkan di post lain) dan kali ini saya siarkan resepi siput sedut pulak.

Masa saya kecil-kecil dulu saya tinggal di Kuala Selangor, dan kuaters yang kami tinggal adalah di dalam hutan bakau. Apabila air pasang saya dan kakak saya akan kebelakng rumah di hutan bakau untuk mengutip siput sedut yang memanjat di atas pokok bakau. Sungguh seronok sekali kenangan yang tak dapat di lupakan. Kata emak saya bagus makan siput sedut ini kerana dia makan daun-daun kayu dan katanya lagi kalau kita makan siput ni kita pun sama mendapat khasiat daun kayu dan awet muda. Walaupun bukan kerana awet muda saya memang gemar memakan siput ini. Dulu tak payah beli ambil saja dibelakang rumah tapi setelah saya berpindah dan merantau tak jumpa lagi suasana yang sedemikian dan sekarang siput sedut memang boleh tahan harganya mencecah RM 10.00 sekilo. Nak buat macam mana nak makan beli jugalah.

Siput sedut ini berlumpur jadi seelok-eloknya apabila kita sampai rumah masukkan dalam bekas dan campurkan dengan hampas kelapa.Tujuannya untuk mengeluarkan kotoran di dalam siput agar kalau kita makan tak rasa tanah tapi jangan lupa tutup dan dihimpit dengan anak batu lesong atau benda berat kalau tidak esoknyanya alamat tinggal bekas sajalah kerana siput dah bye-bye pada kita.

Sebelum dimasak siput ni perlu di potong muncongnya agar kita boleh sedut masa memakanya. Tapi jangan terlalu kedalam memotongnya dan jangan terlalu sikit , elok potong di tengah-tengah.Siput sedap dimasak lemak cili api dan dicampur dengan, batang keladi atau, pucuk paku dan sekiranya dua-dua tak ada dengan kentang pun boleh.
Siput Sedut
Masak lemak cili api siput sedut dengan pucuk paku

Bahan-bahannya:-
1 kg siput sedut potong muncungnya dan di bersihkan
1 ikat pucuk paku
20 biji cilli api di tumbuk dengan sejengkal kunyit hidup
I helai daun kunyit
1 keping kecil asam keping
Garam secukup rasa
Santan (1 biji kelapa dan kalau nak lemak 2 biji kelapa)

Caranya:-
Jerang kuali dan masukkan cilli yang di tumbuk, daun kunyit dan siput dan biarkan sehingga kering.
Masukkan santan biarkan mengelegak.
Masukkan pucuk paku, garam dan asam keping
Setelah pucuk paku lembut diangkat dan di hidangkan.


Nota: tujuan siput di keringkan bersama cili adalah  agar siput itu mesra dengan cili dan santan akan jadi pekat kerana air siput tadi telah kering.

SELAMAT MENCUBA

Mentarang Rebus

Salam Semua,

Seperti yang di janjikan hari ini saya kan luangkan masa untuk menulis resepi dari hidupan laut. Saya akan papar resepi Mentarang Rebus. Simple sahaja resepinya tetapi rasanya enak dan manis terutama kalau selepas kita beli terus dimasak.Kalau disimpan semalaman kemungkinan mentarang akan mati dan kalau di rebus tak enak dan tak manis.

Mentarang ini kulitnya rapuh dan sekiranya ingin mengambil ia didalam lumpur apabila air laut surut terpaksa menggunakan sarung tangan kerana kulitnya tajam dan mudah pecah.Sekiranya ingin membasuhnya saya syorkan rendam dan gosok dengan berus kecil seperti berus gigi untuk mengeluarkan lumpur. Janganlah pula gunakan berus gigi yang dah pakai, seeloknya guna berus gigi khas untuk mencuci jenis-jenis kerang yang berkulit.Kalau boleh rebuslah mentarang dalam kuali kerana kita senang nak kacau dan senang nak dilihat.
Mentarang

Bahan-bahanya:-
1 Kg Mentarang di basuh dan di buang lumpur.
1 batang serai
1 helai daun kunyit
Satu ulas bawang merah size sederhana dan di hiris nipis
I mangkok air

Caranya:-
Jerangkan kuali masukkan air, serai yang di titik, daun kunyit dan bawang dan biarkan hingga mengelegak
Masukkan mentarang dan di tutup agar Mentarang dapat masak seluruhnya.
Tidak perlu masukkan garam kerana air rebusan memang sudah masin dari mentarang tadi.
Rebus sehingga 5 minit angkat dan hidangkan. Air rebusan tadi kalau dihirup memang enak dan manis.
Mentarang Rebus




Pantai Remis

Pantai Remis, Selangor



Lokasi Pantai Remis Selangor adalah kira-kira 45 minit memandu dari Pekan Klang dan akan melalui beberapa pekan kecil seperti Rantau Panjang dan Kapar . Dulu semasa saya kecil Pantai Remis tidak ramai pengunjunnya kerana  tiada apa yang menarik kecuali melihat matahari terbenam dan mengutip kulit-kulit kerang, siput dan kayu tunggul

Sekarang Pantai remis ramai pengunjungnya kerana disamping beriadah membawa family dan berkelah mereka boleh membeli belah pelbagai hidupan laut dan jenis kerang dan makanan laut. Saya ingin pembaca melihat lebih dekat lagi hidupan laut yang boleh dimakan yang selepas ini saya akan tunjukkan dua masakan sebagai hidangan makan tengahari dari hidupan ini. Kalau ada masa lapang dan tidak tahu nak kemana nah! inilah tempatnya untuk pergi, tak jauh ( bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor lah)dan tidak mengeluarkan banyak belanja. BERKUNJUNGLAH KE PANTAI REMIS, SELANGOR.

Suasana redup Pantai Remis hujan mulai turun

Gerai jualan

Gerai Jualan

Gerai jualan/yang bergantung adalah ikan masin

Gerai jualan, ada ubi pisang dan sayuran kampong


Siput Sedut

Kepah

Kijeng

Kerang Bulu

Mentarang

Kerang

Tiram

Lala

Belangkas

Friday 23 December 2011

Sambal Sotong dengan Petai

Salam Semua,
Baru-baru ini saya pergi bercuti ke Cameron Highland bersama-sama keluarga, kata nak berehat memang berehat sungguh sebab sepanjang tiga hari di sana hujan memanjang nak keluar pun malas apatah lagi dengan sejuknya sampai ketulang. Walaubagaimana pun dah telah pergi tu keluar jugalah melawat kalau tak tu rugi saja pergi dapatlah tengok bunga dan sayur-sayuran. Ambillh dua tiga shot gambar bunga tapi tak tahu namanya buat kenangan.
Anak saya Ali yang melambai tangan dengan Cousin nya Haras Wafik yang tunjuk peace





Bunga Pagar



Strawberry

Bunga Matahari

Kebun Teh

Ini adalah antara gambar yang diambi.



Semasa perjalanan balik kita akan dapati banyak jualan hutan dari orang asal Cameron Highland dan antara yang dijual adalah akar-akar kayu, rebung, durian, rambutan, madu lebah, pokok bunga hutan dan boleh dikatakan banyaknya dari bahan-bahan dihutan. bercakap pasal petai emak saya sempat memborong sampai 100 papan.  Sampai dirumah saya tax dia 10 papan dan dibawa balik ke rumah saya.

Suami saya kata dia kalau jumpa orang jual petai dia takkan tawar menawar kerana dia tahu betapa susahnya nak dapatkan petai ini dengan pokok yang tinggi mana lagi nak panjat nak potong, nak turunkan dan membawanya keluar dari hutan.

Memandangkan petai ada dalam simpanan saya dan secara kebetulan ada membeli sotong basah yang besar yang kalau ke pasar kita akan dapati ia direndam dalam baldi atau bekas berisi air yang orang selalu masak sambal nasi lemak tu maka kali ini saya paparkan resepi Sambal Sotong dengan petai.

Bahan-bahannya:
1 ekor sotong besar  dipotong kecil
3 sudu besar cilli giling
4 ulas bawang merah(ditumbuk bersama 3 ulas bawang putih)
3 papan petai ambil isinya
Sambal sotong dengan Petai
1 inci gula melaka(kalau tak ada gula merah pun boleh)
2 sudu kicap tamin
1 keping asam keping
Minyak untuk menumis dan garam secukup rasa.

Caranya:-
Bubuh sedikit minyak di kuali dan setelah panas masukkan bawang yang di tumbuk hingga naik bau.
Masukkan cilli giling dan biarkan 2 ke 3 minit sehingga cilli itu masak.
Masukkan gula melaka dan garam.
Kemudian masukkan sotong yang telah di potong dan dibersihkan. Tidak perlu masukkan air kerana ia memang berair.
Masukkan petai dan kicap dan asam keping. Biarkan kering sedikit dan angkat





SELAMAT MENCUBA SEMUGA BERJUMPA LAGI DILAIN KELUARAN RESEPI SAYA

Sunday 18 December 2011

Sambal Tempoyak dengan Ikan Bilis

Salam semua,
Berjumpa lagi di ruangan resepi kampong. Ada yang bertanya pada saya juga kenapa saya menulis resepi yang mudah dan simple sahaja.Pada saya biarlah dia simple mudah dibuat dan bahan senang dicari. Lagipun saya juga ada agenda menulis resepi ini adalah kerana anak lelaki saya yang dua orang tu memang suka masakan yang di paparkan dan tujuanya adalah untuk sesiapa bakal menantu saya agar dia orang dapat memasak makanan ini macam saya. Dalam erti kata lain nak bagi traininglah pada bakal menantu supaya pandai memasak agar next time kalau kita pergi rumah dia orang jangan disuruhnya kita kedapur pulak. 

Baru-baru nie saya ada jemputan kahwin saudara di Kampong Gajah. Fulamak! bila lalu sepanjang kampong gajah punyalah banyak durian. Siap beli sebakul lagi tapi di kupas dan di bawa balik dalam container(dah memnag dijangka akan bawa durian bawa bekas siap-siap dari rumah) sebab takut pening dengan bau durian. Sampai rumah terus makan dan buat kuah durian yang boleh di colek dengan roti atau kuih ketayap/lemping memang sedap. Tapi dah terlampu banyak tak habis makan buatlah tempoyak dapat tiga bekas pulak.

Tempoyak ni boleh dibuat gulai dengan ikan, buat sambal mentah cuma tumbok cilli api dengan garam dan boleh juga dimasak. Kalau di masak dipanggil sambal tempoyak boleh dimasak bersama-sama ikan bilis atau udang hidup. Sebenarnya sambal tempoyak ini untuk buat penyelera makan tak ada lauk lain pun boleh habis juga sepinggan nasi. Mungkin ramai yang dah tahu cara membuatnya tetapi pada sesiapa yang tak tahu boleh cuba resepi saya ini.

Sambal Tempoyak Ikan Bilis

Bahan-bahannya
4 sudu Tempoyak
Satu batang serai dititik
6 biji cilli api ditumbuk dengan satu cm kunyit hidup
1 helai daun kunyit
Satu mangkok kecil ikan bilis atau udang hidup
2  cawan air
Garam secukup rasa

Caranya:-
Masukkan tempoyak, air, cilli yang di tumbuk,serai dan daun kunyit dan kacau dengan api yang sederhana.
Setelah mengelegak masukkan ikan bilis atau udang hidup, masukkan garam dan kacau hingga ia menjadi pekat.
Angkat dan hidangkan.

SELAMAT MENCUBA

Tuesday 13 December 2011

Masak Lemak Cilli Api Ayam Salai dengan Daun Puding

Salam Semua,
Selamat bertemu kembali. Kali ini saya akan paparkan lagi masak cilli api seperti tajuk di atas. Mesti ramai yang tertanya-tanya mengapalah akak ni suka sangat masak cilli api kan? Sebenarnya suami akak orang Nogori Sembilan dah tentu lah kegemaranya masak lomak cilli api, lagipun anak-anak suka dah terbiasa memakan yang pedas-pedas seperti bapa mereka, "Like fahter like son/daughter"

Kali ini saya akan paparkan juga masak lemak cilli api dan sebelum tu mungkin ramai orang tak tahu daun puding tu. Yang tahu mungkin orang Nogori saja. Bukan semua daun puding yang boleh di makan, jangan pula dalam resepi saya ada daun puding jadi ambil daun puding yang ada ditanam di halaman rumah pulak. Daun puding ini tak ada nama cuma berwarna coklat ke hitaman. Saya sertakan gambarnya sekali supaya tak tersalah makan. Ambil daun yang lembut/pucuk dan di buang tulang daun ditengah dan basuh bolehlah di gulai sama ayam atau daging.


Daun Puding

Bahan-bahanya
1 ekor ayam yang telah disalai dan potong
35 biji cilli api di tumbuk dengan kunyit hidup sejenkal
5-6 batang serai di titik
Satu cekak daun puding ambil yang lembut/pucuk dibuang tulang tengahnya
Santan (I-2 biji)
garam secukup rasa
asam keping kecil(satu sahaja)

Caranya
Masukkkan cilli api yang telah di tumbuk, serai dan santan kedalam kuali.
Setelah mengelegak masukkan ayam dan masak sampai santan pekat dan masukkan daun puding.
Masukkan garam secukup rasa dan asam keping.


Masak Lemak cilli api Ayam salai dengan Daun Puding
SELAMAT MENCUBA.

Monday 12 December 2011

Cendawan Busut masak Rendang Cilli Api

Cendawan busut masak Rendang cilli api
Salam semua,
Selamat bertemu kembali. Saya telah lama ingin memakan cendawan busut. Setiap kali saya pergi ke Seremban pasti saya akan ikut jalan lama bukan sebab nak elak Tol tapi semata-mata nak cari cendawan busut yang mana selalunya terdapat di jalan Mantin, Beranang dan Semenyih tapi malangnya tak jumpa. Petang tadi saya pergi ke Nilai dan didalam perjalanan balik ikut jalan Bangi lama, alamak ternampak orang buka meja dan baru nak menjual cendawan busut. Tiba-tiba suruh suami saya berhenti, nah! memang betul cendawan Busut, satu kilogram RM15.00 beli sekilo lebih. Kira-kira saya lah first customer dia. Balik terus bersih kan dan masak. Lepas kempunan nak makan cendawan busut setelah berbulan mencarinya. Oleh itu saya nak share lah resepinya. Sebenarnya cendawan busut sedap juga di buat sop untuk Ali sekecil saya dan Rendang untuk orang dewasa. DAH SEDIA?

Bahan-bahanya
I kg cendawan busut(dibersihkan)
30 biji cilli api di tumbuk dgn I jengkal isi kunyit hidup
2 batang Serai di titik
Santan (dari 1 biji kelapa kalau nak lemak 2 biji)
Garam secukup rasa

Caranya:-
Masak Santan dengan cilli yang telah di tumbuk dengan kunyit ke dalam kuali, masukkan serai hingga mengelegak. Biarkan mengelegak 2 ke 3 minit masukkan cendawan. Masukkan garam dan masak hingga kering.

Memang rendang Cendawan Busut ini lebih sedap dari rendang daging. SO SELAMAT MENCUBA HINGGA BERJUMPA DI LAIN KELUARAN.

Gambar ini rendang masih didalam kuali.

Sunday 4 December 2011

Perut Masak lemak cilli api dengan mangga muda

Salam Semua dan selamat bertemu kembali. Kepada peminat blog saya,  harapan saya agar semua dapat memberi komen-komen yang berguna atau mahu saya menuliskan resepi yang di inginkan silalah beri maklum balas.

Seperti yang dijanjikan sekali lagi saya akan mengutarakan satu resepi kampung yang mudah dan sedap. Resepi perut lembu ini mudah di masak tapi persediaanya susah sedikit kerana perut lembut yg berwarna hitam harus di rendam kapur dan di kikis sehingga putih dan di rebus hingga lembut.

Bahannya:-
I kg perut lembu yang telah di rebus lembut
I biji kelapa ambil santanya.
Perut mask lemak cilli api dengan mangga muda
I biji mangga muda di hiris panjang.
35 biji cilli api di tumbuk halus dengan kunyit hidup
I batang serai di titik

Caranya:
1. Masukkan cilli api yang telah di tumbuk dengan kunyit kedalam periuk bersama perut lembu yang telah di rebus lembut.  Biarkan ia masak sebati dengan cili, masukkan serai
2. Masukkan santan dan apabila sudah mengelegak masukkan mangga yang telah dihiris. masukkan garam secukup rasa. Biarkan mangga lembut dan di angkat.

Masakan ini memang sedap kerana ia cukup dengan pedas, masam,  dan lemak.

SELAMAT MENCUBA