Semasa saya berkunjung ke Pantai Remis baru baru ini saya cuma membeli Mentarang dan siput sedut. Maka saya akan paparkan masakan Mentarang(yang disiarkan di post lain) dan kali ini saya siarkan resepi siput sedut pulak.
Masa saya kecil-kecil dulu saya tinggal di Kuala Selangor, dan kuaters yang kami tinggal adalah di dalam hutan bakau. Apabila air pasang saya dan kakak saya akan kebelakng rumah di hutan bakau untuk mengutip siput sedut yang memanjat di atas pokok bakau. Sungguh seronok sekali kenangan yang tak dapat di lupakan. Kata emak saya bagus makan siput sedut ini kerana dia makan daun-daun kayu dan katanya lagi kalau kita makan siput ni kita pun sama mendapat khasiat daun kayu dan awet muda. Walaupun bukan kerana awet muda saya memang gemar memakan siput ini. Dulu tak payah beli ambil saja dibelakang rumah tapi setelah saya berpindah dan merantau tak jumpa lagi suasana yang sedemikian dan sekarang siput sedut memang boleh tahan harganya mencecah RM 10.00 sekilo. Nak buat macam mana nak makan beli jugalah.
Siput sedut ini berlumpur jadi seelok-eloknya apabila kita sampai rumah masukkan dalam bekas dan campurkan dengan hampas kelapa.Tujuannya untuk mengeluarkan kotoran di dalam siput agar kalau kita makan tak rasa tanah tapi jangan lupa tutup dan dihimpit dengan anak batu lesong atau benda berat kalau tidak esoknyanya alamat tinggal bekas sajalah kerana siput dah bye-bye pada kita.
Sebelum dimasak siput ni perlu di potong muncongnya agar kita boleh sedut masa memakanya. Tapi jangan terlalu kedalam memotongnya dan jangan terlalu sikit , elok potong di tengah-tengah.Siput sedap dimasak lemak cili api dan dicampur dengan, batang keladi atau, pucuk paku dan sekiranya dua-dua tak ada dengan kentang pun boleh.
Siput Sedut |
Masak lemak cili api siput sedut dengan pucuk paku |
Bahan-bahannya:-
1 kg siput sedut potong muncungnya dan di bersihkan
1 ikat pucuk paku
20 biji cilli api di tumbuk dengan sejengkal kunyit hidup
I helai daun kunyit
1 keping kecil asam keping
Garam secukup rasa
Santan (1 biji kelapa dan kalau nak lemak 2 biji kelapa)
Caranya:-
Jerang kuali dan masukkan cilli yang di tumbuk, daun kunyit dan siput dan biarkan sehingga kering.
Masukkan santan biarkan mengelegak.
Masukkan pucuk paku, garam dan asam keping
Setelah pucuk paku lembut diangkat dan di hidangkan.
Nota: tujuan siput di keringkan bersama cili adalah agar siput itu mesra dengan cili dan santan akan jadi pekat kerana air siput tadi telah kering.
SELAMAT MENCUBA